Permatang Pauh - Anwar Semakin Tertekan



Amat menarik pertarungan politik Dr. Mazlan Ismail- Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh. Latar belakang tokoh yang mempertaruhkan diri dengan seorang tokoh kontroversial Anwar wajar diberikan fokus.

Dr. Mazlan, seorang profesional dan memiliki jiwa agama yang tinggi, boleh menjadi imam dan bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang. Beliau orang profesional dan memiliki kelulusan akademik yang tinggi.

Beliau anak tempatan dan telah lama mengenali kampung halamannya dan derita rakyat di situ. Beliau tahu sejak Anwar menjadi wakil rakyat, kekerapan kembali ke kawasan boleh dibilang. Orang Melayu Pulau Pinang menghadapi pelbagai kesulitan dan tekanan. Puncaknya ialah pengunduran Mohammad Fairuz Khairudin daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Anwar kini sedang tertekan dengan situasi politik pakatan pembangkang. Pas diketahui semacam menolak Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Lim Kit Siang akhirnya tahu bahawa meletakkannya bertanding di Parlimen Gelang Patah sesuatu yang tidak mengenakkan. Anwar yang patut bertanding di luar kawasan Permatang Pauh tiba-tiba kembali semula ke Permatang Pauh.

Hasratnya ingin keluar dari Permatang Pauh mungkin menyedari Dr. Mazlan akan bertanding di situ. Dr. Mazlan bukan calang-calang calon. Dengan latar belakang Pas yang ada padanya, kalau tidak semua penyokong Pas menyokongnya sebahagian akan membantu, sokongan daripada warga BN akan membantunya dan ia boleh menimbulkan upset di Permatang Pauh.

Ada orang memberi analisis bahawa Pas semacam tidak memperlihatkan tentangan terhadap kehadiran Dr. Mazlan di situ. Apakah bila Pas tidak setuju Anwar menjadi Perdana Menteri maka lebih bijak mengalahkannya di Permatang Pauh daripada kalau menang nanti menentukan calon Perdana Menteri menjadi lebih sukar pula.

Ada khabar mengatakan DAP mahukan Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri. Kalau khabar ini jelas, ia suatu pukulan kepada Anwar kerana cita-cita peribadinya itu bakal berakhir di Permatang Pauh saja.

Badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bekas rakan lama Anwar khabarnya akan berkampung di Permatang Pauh. TIBAI, Jati, Muafakat dan banyak lagi akan berada silih berganti di Permatang Pauh. Anwar tentu tidak akan duduk diam, antara meraikan undangan di tempat lain di seluruh negara dengan menjaga kawasan sendiri, Anwar kena membuat pilihan bijak.

Bagi Dr. Mazlan menganggap perlawanannya dengan Anwar adalah suatu jihad untuk mengembalikan imej pemimpin berintegriti supaya arah pimpinannya jelas dan berwibawa. Imej Anwar terlalu banyak tercalar.

Dalam kalangan yang sudah tahu mengambil tekad meninggalkannya. Dr. Mazlan tentu berada dalam kalangan yang tahu dan membuat ijtihad menentangnya. Ini suatu keberanian yang tinggi martabatnya.

Politik Malaysia memerlukan tokoh yang cakapnya serupa bikin. Pemimpin Malaysia yang dikehendaki ialah pemimpin yang tidak dilingkari seribu satu calaran imej yang tidak mampu dileraikan dan memiliki imej berlakon yang melampau.

Lebih-lebih lagi pemimpin yang dikaitkan dengan pluralisme agama, LGBT, menyalahgunakan kalimah Allah, mempunyai kaitan dan rangkaian hubungan dengan pihak luar negara dan suatu ketika dalam ABIM bercakap tentang Islam dan dalam UMNO mengkritik pihak di luar UMNO dengan kritikan yang pedas dan bila berada dalam Pakatan membidas UMNO dan BN dan didapati bercanggah dengan apa yang diucapkan dulu.

Orientasi politik Malaysia bukan orientasi politik jalanan atau cita-cita membawa faham Arab Spring ke Malaysia. Perubahan rejim yang diinginkan oleh Anwar tidak serasi dengan iklim politik Malaysia yang stabil dan maju.

Oleh itu Dr. Mazlan mempunyai bahan kempen yang terlalu banyak sama ada merujuk kepada fahaman tiga parti dalam Pakatan yang satunya memperjuangkan negara Islam, yang satu lagi memperjuangkan fahaman sosialis demokratik chauvanis ala Malaysian Malaysia dan yang satu lagi mendukung fahaman liberal dan pluralisme agama.

Dengan dukungan rakan-rakan setempat dan NGO dari luar, Dr. Mazlan bakal mempunyai isu yang banyak tidak saja domestik Permatang Pauh tetapi juga isu-isu nasional dan antarabangsa yang sangat sensitif bagi keselamatan dan integriti Malaysia masa depan. Didoakan Dr. Mazlan mampu melakukan suatu kejutan.

No comments:

Post a Comment